Kali ni saya nak bawakan beberapa tragedi yang terjadi akibat dari pemakanan. Pengalaman-pengalaman yang saya dapatkan melalui beberapa kenalan dan membuatkan semakin hari semakin merasa kepentingan terhadap penjagaan pemakanan anak-anak. Bersama kita hanyati...
Tragedi pertama...
Saya kenal seorang ibu muda melalui anaknya yang pernah bekerja ditempat yang sama bersama saya satu ketika dahulu.
Mempunyai seorang anak kecil berusia 7 tahun telah menghidap kencing manis tahap kritikal. Memerlukan anak kecil ini mengambil rawatan insulin beberapa kali setiap hari diikuti rawan susulan di hospital.
Saya tidak tahu puncanya. Memang tak pernah tanya sebab nak jaga perasaan si ibu. Tetapi melalui cerita sahabat saya (kakak anak kecil tadi...) memang sebelum ni maknya meraikan anak kecilnya seperti kebiasaan ibu-ibu lain. Membudayakan jajan, gula-gula dan makanan yang seangkatan dengannya tanpa memikirkan mudarat dibelakang hari. Si kakak menyatakan rasa penyesalan.
Satu hari, si ibu terpedaya dengan satu iklan SUPPLEMENT KUATKAN MINDA yang sangat famous di ruangan radio di Malaysia. Si ibupun beli untuk anaknya yang menghidap kencing manis tadi. Sebaik sahaja si anak makan supplement tadi, keadaan anak terus menjadi kritikal. Muntah-muntah yang teruk dan muka kelihatan pucat. Segera anak tersebut di bawa ke hospital dan dimasukkan ke ICU. Kata doktor mujur anaknya segera dibawa ke hospital cepat. Hampir-hampir sahaja anaknya kehilangan nyawa.
Satu hari saya menziarahi si ibu dengan tujuan ingin mengetahui keadaan anak kecilnya. Alhamdulillah anaknya kelihatan aktif walaupun hakikat sebenar keadaan anaknya tidak seperti anak-anak lain yang waktu makannya dan jenis makannya sangat perlu dipantau bagi mengelakkan keadaan yang tidak diingini berlaku.
Sebenarnya sebelum tragedi yang menimpa anak kecil ini, saya terdengar iklan supplement kuatkan minda ni di corong radio terkemuka di malaysia. Apabila dibaca senarai bahan yang terkandung di dalamnya terus saya rasa marah yang teramat sangat dan segera beristighfar...lagi sedih sebab ia diasaskan oleh orang islam kita. Saya menjadi marah sebab terlalu banyak produk yang dicanangkan baik dan membantu kanak-kanak dihasilkan tanpa ilmu dan kajian yang terperinci. Mengambil kesempatan atas masalah yang melanda masyarakat untuk keuntungan mereka.
Ibu-ibu yang tidak mempunyai ilmu dan merasa terdesak akan memilih jalan mudah. Akibatnya anak yang menanggung derita.
Tragedi kedua...
Pernah suatu masa mak saya dimasukkan ke hospital kerana penyakit kencing manis. Alhamdulillah mak saya semakin pulih setelah diberi jagaan rapi terhadap pemakanannya. Kat sini bukan nak cerita pasal mak saya tapi remaja yang berada di dalam wad yang sama dengan mak saya pada ketika itu.
Kisah ini diceritakan oleh adik saya yang kebetulan berada di wad pada ketika itu. Adik saya sengaja menziarahi remaja berkenaan sebab beliau kelihatan berseorangan tanpa ada sesiapa yang datang menjenguk.
Seingat saya remaja tersebut berumur 15 tahun dan telah lama berada di wad berkenaan kerana menghidap pelbagai penyakit kronik termasuk kencing manis dan kegagalan buah pinggang. Kehadiran adik saya disambut dengan baik dan begitu mesra di ajak berbual. Dalam perbualan yang berlaku beberapa minit itu, beliau menyatakan kekesalan beliau terhadap budaya pemakanan yang beliau amalkan sebelum ini. Makanan berproses seperti air tin, jajan dan sebagainya menjadi amalan pemakanan harian tanpa pernah ditegah oleh ibunya. Beliau sendiri tidak pernah menjangka keadaannya akan menjadi seperti yang dialaminya sekarang. Beliau menasihati adik saya agar jaga pemakanan sebaik mungkin supaya tidak menyesal dikemudian hari.
Tragedi ketiga...
Semasa berkhidmat di sebuah sekolah beberapa tahun lepas, saya mempunyai seorang anak murid berusia 7 tahun yang bersikap agresif, sukar ditegur dan cepat marah. Beliau berada di bawah pantauan sekolah di dalam kategori murid yang bermasalah. Murid ini juga sering menghadapi masalah kesihatan dimana kerap masuk ke wad dalam beberapa bukan sekali. Saya mengenali rapat ibu beliau kerana sering berurusan bersama.
Setahun selepas berhenti berkhidmat, saya berjumpa dengan si ibu untuk bertanyakan keadaan anaknya setelah mendapat tahu berlaku perubahan positif pada anaknya dari segi tahap kesihatan dan sikap.
Si ibu berkongsi cerita...dulu beliau tidak menjaga pemakanan anak-anaknya yang mengakibatkan anak-anak sering sakit dan dimasukkan ke dalam wad. Kemungkinan juga pemakanan menjadi penyebab terhadap sikap anak-anaknya. Alhamdulillah kini beliau telah mengambil pendekatan melakukan perubahan terhadap pemakanan anak-anak dan banyak perubahan telah berlaku.
Renungkanlah...
Ibu Ayah sekalian...Jadilah ibu bapa yang prihatin terhadap keadaan yang berlaku di sekeliling kita. Semakin ramai anak-anak menjadi mangsa akibat dari tangan-tangan ibu ayah sendiri. Kita tidak boleh mengharap orang lain melakukan perubahan tetapi kitalah yang perlu berubah. Jangan kita butakan mata terhadap hakikat yang semakin tenat menimpa anak-anak. Kesihatan jasad mereka terkorban. Jiwa dan emosi mereka menjadi kacau. Fikiran mereka kacau. Terzahirlah pada sikap dan tingkah laku mereka. Akibat dari pemakanan mudarat yang kita hidangkan buat santapan anak-anak.
Lakukan perubahan sebelum keadaan anak-anak kita berubah...
Sekian.
No comments:
Post a Comment